Belanja sakan di Eropah.

Wednesday 20 January 2016



Hujung tahun lalu, pelakon drama Hello Mr Perfect, Ruhainies, 24, bercuti bersama keluarga di Amsterdam dan London selama 16 hari.
Menurut Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, percutian itu adalah yang pertama sepanjang bergelar artis.
“Sudah jadi tradisi keluarga saya akan bercuti pada hujung tahun. Pada 2014 kami ke Korea dan hujung tahun lalu Eropah pula jadi destinasi pilihan.
“Meskipun nilai mata wang negara jatuh, saya dan keluarga tetap meneruskan percutian ini memandangkan sudah lama dirancang,” katanya.


Adik kepada pelakon Risteena Munim ini turut mengakui kejatuhan ringgit tidak menghalangnya membeli-belah sehingga berhabis lebih RM20,000.
“Di London setiap 26 Disember adalah hari jualan murah atau lebih kenali sebagai ‘boxing day’. Ketika ke sana beberapa tahun lalu, banyak barang boleh dibeli.
“Saya suka borong minyak wangi, pakaian dan alat solek. Namun dalam kunjungan kali ini, saya hanya dapat beli dalam kuantiti sikit,” katanya.
Bukan mahu menunjuk-nunjuk mampu berbelanja puluhan ribu ringgit, tetapi pelakon bertubuh kecil molek ini sekadar mahu menghargai diri sendiri.

“Apabila berada di sana, saya malas fikir nilai mata wang kita kerana ia hanya akan menyakitkan hati. Jadi, saya beli saja apa yang diinginkan.
“Ini adalah masa untuk saya menghargai dan memanjakan diri selepas penat bekerja sepanjang tahun. Lagipun, bukan selalu. Dalam setahun hanya sekali saya dapat berbelanja besar seperti ini,” katanya.
Ditanya apakah lokasi percutian idamannya selepas ini, Ruhainies pantas menjawab Itali dan Switzerland.

“Insya-Allah, April nanti saya akan bercuti bersama 40 peminat di Perancis, Itali dan Switzerland.
“Mengikut pakej yang ditawarkan, peserta rombongan dikehendaki membayar RM8,000 merangkumi semua kemudahan termasuk pengangkutan, penginapan dan makan,” katanya.

Jadi pilihan penyanyi Korea

Beralih perihal karier, Ruhainies akan memulakan penggambaran telefilem Hello Mr Perfect Raya tidak lama lagi.
“Selain telefilem ini, saya terpilih membintangi muzik video penyanyi Korea, Vince.
“Ada lagi beberapa tawaran drama, tetapi masih dalam perbincangan. Syukur, permulaan yang baik buat tahun ini,” katanya.

Selain itu, pada Mac ini Ruhainies akan menjayakan penggambaran travelog sebanyak 40 episod yang menampilkannya sebagai pengacara.
Ruhainies turut memaklumkan dia kini berjinak-jinak dalam perniagaan dengan memperkenalkan produk kecantikan.
Sedia maklum sepak terajang dunia bisnes, dia bersedia berdepan pelbagai risiko dan cabaran.

“Perniagaan ini diusahakan bersama rakan kongsi. Saya keluarkan modal lebih RM100,000.
“Saya tahu berniaga ada risiko. Bagaimanapun, saya tidak akan mengalah dan akan berusaha sehabis baik mengembangkan bisnes ini,” katanya.


sumber : sini

2 comments